Amalan dalam menuntut ilmu


ISTIQAMAH AMALAN SEPANJANG RAMADHAN



Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat Ilahi kepada hambaNya, kerana hanya Ramadhan disebut namanya oleh Allah di dalam Al-Quran, sedangkan bulan-bulan lain tidak dinyatakan namanya oleh Allah. Ini satu penghormatan Ilahi kepada Ramadhan serta pengisytiharaan Ilahi kepada seluruh umat manusia. Lantaran itu kehadiran Ramadhan hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif positif bagi menjadikannya pemangkin kepada perubahan.

Antara musuh utama yang diisytiharkan oleh Allah bagi manusia ialah syaitan, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka hendaklah kamu perlakukannya sebagai musuh”. Syaitan yang menjadi musuh utama itu telah dibelenggu oleh Allah sepanjang Ramadhan. Ini satu lagi rahmat Ilahi kepada hambaNya dalam bulan Ramadhan.

Menyedari syaitan bukan lagi menjadi halangan bagi muslim sepanjang Ramadhan, maka yang tinggal hanyalah hawa nafsu yang juga menjadi keperluan manusia. Nafsu bukanlah semua negatif, kerana adanya nafsu mutmainnah yang membina nilai positif, hanya nafsu amaarah yang mendorong ke arah nilai negatif. Maka mengenal sifat nafsu amaarah sangat penting, kerana nafsu ini secara sendiriannya ia tidak mendorong ke arah keburukan, hanya ia berhajat kepada faktor lain bagi membentuk sikap negatif dalam jiwa manusia. Seperti sifat pemarah yang dihasilkan dari ego, takabbur, makanan yang mengandungi kadar kolestrol tinggi, daging, persekitaran yang membosankan serta tekanan hidup. Maka factor-faktor pendorong inilah yang perlu dijauhi agar nafsu amaarah tidak bergelojak dalam diri seterusnya mendorong kepada keburukan.

Jadikan Ramadhan sebagai titik tolak (turning point) kepada perubahan positif dalam diri. Untuk melakukan perubahan adalah sesuatu yang sangat sukar dalam kehidupan manusia, apatah lagi kalau sesuatu itu telah sebati dalam diri mereka atau telah lama dilakukan sehingga ianya menjadi budaya bagi dirinya. Seperti mendedahkan aurat. Bagi sesetengah wanita yang biasa tidak memakai tudung, sehingga ia rasakan perkara tersebut sebagai perkara biasa seolah-olah bukan lagi satu dosa. Kedatangan Ramadhan sebaiknya dijadikan titik tolak memulakan kehidupan baru sebagai wanita Islam dengan memulakan memakai tudung, serta menutup aurat dengan sempurna. Mendirikan solat berjamaah dan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan diri kepada Allah. Ia sangat ringan untuk memulakan di awal Ramadhan ini.

Keghairahan di awal Ramadhan sangat menyeronokkan, bila mana surau dan masjid dipenuhi oleh pelbagai golongan bagi mendirikan solat tarawikh. Hal ini perlu dikekalkan sehingga penghujungnya dan berterusan selepas itu. Namun yang biasa kita lihat semakin hamper ke penghujung Ramadhan, semakin berkuranglah jamaah. Sedangkan diakhir Ramadhan lah dipenuhi dengan hari-hari Allah melepaskan manusia dari azab neraka.

Persoalannya bagaimanakah untuk istiqamah. Maka empat jalan yang disarankan:
  • Lakukan amal ibadah secara sederhana, ringan tetapi berkekalan. Jangan ghairah di awal sehingga menjemukan.
  • Memikirkan banyaknya kesalahan dan dosa dengan Allah, yang menuntut kita membanyakkan bekalan amal ibadat dan bertaubat dari dosa tersebut.
  • Semua keberkatan, rahmat dan keampunan yang ada dalam bulan Ramadhan akan berakhir, maka kita mesti mengambil peluang ini sebelum ianya berakhir.
  • Mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan akhir dalam kehidupan kita, maka kita mesti mengambil kesempatan sepenuhnya.
“Ya Allah, jadikalah awal Ramadhan ini sebagai hari-hari terbaik dalam kehidupanku, dan jadikan aku orang yang sabar dipertengahan Ramadhan dan perkuatkan imanku pada akhir Ramadhan agar dengannya aku dikasihi olehMu, diampuni seluruh dosaku dan diberkati baki-baki dari umurku.” Amin…
Sumber: http://tuanibrahim.blogspot.com/2010/08/istiqamah-amalan-sepanjang-ramadhan.htm
Kelolaan : Ibnu Mohamad Rabeh

DOA AKHIR & AWAL TAHUN HIJRAH

(DOA AKHIR TAHUN)

Doa akhir tahun ini dibaca ketika akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

(DOA AWAL TAHUN)

Doa awal tahun ini dibaca selepas Maghrib pada malam satu Muharram..

Biah solehah atau Biah Tolehah?

Tajuk di atas sengaja dipilih pada kali ini untuk sama-sama dinilai dan difikir oleh teman-teman sekelian selaku manusia-manusia yang bertaraf hamba kepada tuhan-Nya, ingin hidup di dalam satu biah atau suasana yang dipayungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Selain itu, ia merupakan langkah berterusan ke arah dakwah melalui media elektronik seperti blog dan sebagainya untuk memberi kesedaran kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mewujudkan biah solehah di tempat masing-masing.

Persoalan biah yang berada di tempat kita sudah betul-betul solehah atau tidak perlu dilontarkan ke dalam benak hati kita untuk dinilai, diteliti dan dimuhasabah. Mungkinkah apa yang berada di persekitaran kita telah mampu membentuk peribadi kita selaku penuntut-penuntut ilmu Allah s.w.t ataupun di dalam apa jua lapangan bidang yang dahagakan sebuah suasana yang diredhai dan diberkati oleh Allah s.w.t. ataupun tidak.

Sebenarnya, proses pembentukan sesebuah masyarakat madani yang bersifat rabbani perlukan sebuah biah yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Sirah al-nabawiyyah telah membawa kita menyelusuri kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. yang mana baginda telah ditarbiyyah oleh Allah s.w.t. di dalam suasana yang dijaga dan dipelihara oleh Allah s.w.t.. Oleh kerana itulah, baginda telah lahir sebagai manusia 'Mukhtarah' (pilihan) sepanjang zaman.

Begitu juga, baginda telah mendidik para sahabat baginda hingga mereka semua yang lahir sebagai manusia yang sangat tinggi sifat tanggungjawabnya terhadap amanah Islam serta tersangat tinggi pengabdiannya kepada Allah s.w.t inilah hasil suasana yang dibina oleh Rasulullah s.a.w secara iltizam dan istiqamah hingga mampu melahirkan figure-figure yang sangat hebat di dalam memartabatkan kesyumulan Islam di atas muka bumi ini.

Pernahkah kita mengimpikan suasana biah usrah yang sentiasa mekar di sekeliling kita, ataupun suasana di mana rakan-rakan kita sentiasa dengan senyuman dan salam di saat berjumpa, bermuamalah di dalam suasana yang muhibbah dengan penuh adab yang dijaga, menjaga akhlak-akhlak Islam dengan penuh istiqamah, serta tidak melampaui batas di dalam apa jua yang mereka lakukan. Tidakkah ini menjadi satu impian kita?

Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani pernah mengambarkan suatu kepincangan yang berlaku di dalam kehidupan makhluk tuhan bernama manusia baik perpecahan, ketidakadilan dan sebagainya dengan katanya: "Di dalam masyarakat binatang tiada manusia jalang, tetapi di dalam masyarakat manusia ada binatang jalang". Golongan yang dilabelkan inilah menjadi perosak kepada suasana yang ingin kita capai dan realisasikan!.

Teman-teman…apakah tidak ada kekuatan di dalam diri kita untuk mengubah semua itu…kita punyai potensi dan kekuatan sebenarnya untuk membina biah yang kita impikan dengan kesatuan yang kita ada sekarang. Gunalah kesempatan yang kita ada bersama PMRAM untuk terus membina paradigma, Qudwah dan himmah agar masyarakat yang kita impikan dapat kita realisasikan.

Kita umpama benih-benih yang subur, namun apakah yang mampu kita lakukan untuk memastikan benih ini tumbuh mekar menjadi bunga-bunga yang indah dan cantik untuk merasai keindahan dan keadilan Islam itu sendiri tanpa tanah/bumi yang juga subur untuk kita Tanami dan bajai benih itu.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, Berilah makanan kepada (orang yang memerlukan), teguhkanlah silaturrahim, dan bersolatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur"

Akhirnya, semoga kita yang berada di bumi Ardul Kinanah ini khususnya dan sesipa juga yang cintakan Islam di seluruh dunia, agar terus menyemarakkan obor semangat berteraskan kefahaman untuk memperkasakan biah solehah semampu kita. Biarlah orang memandng ia remeh, tetapi bagi kita, walaupun hanya sekadar memberi seekor anjing yang kehausan minum itupun,ia tetap dikira sebagai satu amal kebajikan yang akan dihitung oleh Allah s.w.t. insyaAllah.

Pak Hamka pernah berkata: "Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menjuju kebenaran yang mutlak. Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai. Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya".

Salam Perjuangan, salam ukhuwwah, dan selamat merealisasikan biah solehah!

Pengarah Biah Solehah PMRAM 2009/2010.